Pengaruh Islam Di Dalam Politik Malaysia
Islam pada dasarnya memainkan
peranan yang besar di dalam pembentukan iklim politik di Malaysia. Ini dapat
dibuktikan melalui penyertaan golongan ulama didalam kebangkitan kesedaran
bangsa dari era dahulu. Sebagai contoh, golongan ulama seperti syeikh syed al-hadi dan sheikh Tahir Jalaluddin adalah antara golongan intelektual pertama
yang mengagaskan peranan Islam di dalam politik (Jamaie: 2005). Penubuhan parti
politik kebangsaan seperti UMNO juga pada dasarnya mendapat sokongan para ahli agama.
Kerana ia berfungsi sebagai medium politik bagi orang melayu yang rata-ratanya
beragama Islam.
Terdapat ramai intelektual politik
Malaysia adalah berlatarbelakangkan agama, seperti Dr Burhannudin Al-Hemy dan
Profsessor Zulkifli Mohammad . Para intelektual inilah yang memainkan peranan
yang besar didalam pengisian Islam didalam politik Tanah Melayu menjelang
kemerdekaan (Jamaie: 2005). Namun, diatas sikap tidak mahu bekerjasama dengan
pihak penjajah, para ulama ini telah disenarai hitamkan berbanding para
nasionalis yang mengambil sikap bekerjasama dengan pihak penjajah. Terdapat
ramai tokoh-tokoh agama yang turut terlibat di dalam kepimpinan Tanah Melayu
pasca kemerdekaan tahun 1957 seperti Ahmad Badawi yang merupakan ulama tempatan
yang terkenal didalam politik. Penglibatan golongan agama di dalam politik ini
kerana mereka percaya bahawa tidak terdapat pembahagian di antara politik dan
agama seperti yang difahami oleh para orientalis barat. Namun, permainan
politik barat sedikit demi sedikit memisahkan ruang diantara peranan agama di
dalam politik (Kamarulnizam: 2003), ini terjadi lantaran pihak barat telah
menyediakan teraju pimpinan pelapis yang hampir dengan pemikiran politik mereka
yang sekular. Ini dapat dibuktikan melalui barisan kabinet pasca merdeka yang
rata-ratanya merupakan lepasan pendidikan barat yang terdidik dengan pemikiran
politik orientalisme.
Akibat kontradiksi yang berlaku di
dalam kepimpinan negara pasca merdeka, dimana berlaku pertembungan idea
diantara golongan ulama dan para ahli politik berpendidikan barat, ramai di
kalangan ulama telah keluar dari parti pemerintah dan menubuhkan sebuah parti
Islam sebagai wadah memperjuangkan politik Islam (Kamarulnizam: 2003). Parti
yang dimaksudkan ialah Parti Islam Semalaysia (PAS). Perjuangan politik Islam
di Malaysia telah melalui pelbagai liku lantaran terpaksa bersaing dengan
pelbagai pemikiran politik barat seperti liberalisme yang didukung oleh UMNO
dan sosialisme yang didukung oleh Barisan sosialis. Namun, politik Islam
mendapat sambutan yang menggalakan di negeri-negeri yang berpenduduk majoriti
Melayu. Ini kerana terminologi Islam tidak dapat dipisahkan dari aspek budaya
Melayu. Menurut Syed Naquib (1972), Islam dan Melayu tidak dapat dipisahkan
kerana terdapat ikatan yang kuat diantara kedua-duanya dari segi budaya dan
agama.
Penglibatan Islam didalam politik di
Malaysia dapat dibahagikan kepada beberapa jangka masa. Era yang pertama ialah
zaman pasca kemerdekaan, era pasca revolusi Iran dan era moden (Kamarulnizam:
2003). Ketika era pasca kemerdekaan, penglibatan Islam agak menonjol hanya
kepada negeri-negeri yang majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan
Kedah. Ini kerana, pemikiran politik barat seperti ideologi sosialisme dan
liberalisme agak kuat mendominasi pentas politik arus perdana. Pada ketika era
ini, politik Islam hanya berjaya mendapat tempat dikalangan para penduduk luar
bandar. Namun, arus kebangkitan Islam yang benar-benar memberikan impak kepada
pentas politik Malaysia hanya terjadi pasca revolusi Islam Iran pada awal tahun
70an, dimana timbul pelbagai gerakan Islam bukan sahaja parti politik, tetapi
juga gerakan-gerakan dakwah seperti Al-Arqam dan Abim yang turut mendominasi
pergerakan sosiopolitik Malaysia. Kamarulnizam (2003) menghujahkan bahawa,
kesedaran Islam pada era ini adalah begitu hebat di mana setiap gerakan Islam
mengambil inspirasi dari kejayaan revolusi Islam Iran.
Era yang ketiga ialah pasca
peristiwa 11 september 2003 . Arus kebangkitan Islam yang terjadi adalah
lantaran dari kesedaran umat Islam secara global tentang betapa perlunya
kembali kepada pemikiran politik Islam dan kesedaran bahawa Islam dan politik
tidak dapat dipisahkan samasekali didalam kehidupan. Kemunculan kejayaan
gerakan Islam seperti AKP di Turki, Hizbullah di Lebanon dan Hamas di Palestin
serta kejayaan Ikhwanul Muslimin menguasai hampir separuh parlimen Mesir
memberikan inspirasi kepada gerakan Islam di Malaysia (Maszlee: 2006).
No comments:
Post a Comment