Friday 16 March 2012

Pengaruh Islam Di Dalam Politik Malaysia

Pengaruh Islam Di Dalam Politik Malaysia

           Islam pada dasarnya memainkan peranan yang besar di dalam pembentukan iklim politik di Malaysia. Ini dapat dibuktikan melalui penyertaan golongan ulama didalam kebangkitan kesedaran bangsa dari era dahulu. Sebagai contoh, golongan ulama seperti syeikh syed al-hadi dan sheikh Tahir Jalaluddin adalah antara golongan   intelektual pertama yang mengagaskan peranan Islam di dalam politik (Jamaie: 2005). Penubuhan parti politik kebangsaan seperti UMNO juga pada dasarnya mendapat sokongan para ahli agama. Kerana ia berfungsi sebagai medium politik bagi orang melayu yang rata-ratanya beragama Islam.

          Terdapat ramai intelektual politik Malaysia adalah berlatarbelakangkan agama, seperti Dr Burhannudin Al-Hemy dan Profsessor Zulkifli Mohammad . Para intelektual inilah yang memainkan peranan yang besar didalam pengisian Islam didalam politik Tanah Melayu menjelang kemerdekaan (Jamaie: 2005). Namun, diatas sikap tidak mahu bekerjasama dengan pihak penjajah, para ulama ini telah disenarai hitamkan berbanding para nasionalis yang mengambil sikap bekerjasama dengan pihak penjajah. Terdapat ramai tokoh-tokoh agama yang turut terlibat di dalam kepimpinan Tanah Melayu pasca kemerdekaan tahun 1957 seperti Ahmad Badawi yang merupakan ulama tempatan yang terkenal didalam politik. Penglibatan golongan agama di dalam politik ini kerana mereka percaya bahawa tidak terdapat pembahagian di antara politik dan agama seperti yang difahami oleh para orientalis barat. Namun, permainan politik barat sedikit demi sedikit memisahkan ruang diantara peranan agama di dalam politik (Kamarulnizam: 2003), ini terjadi lantaran pihak barat telah menyediakan teraju pimpinan pelapis yang hampir dengan pemikiran politik mereka yang sekular. Ini dapat dibuktikan melalui barisan kabinet pasca merdeka yang rata-ratanya merupakan lepasan pendidikan barat yang terdidik dengan pemikiran politik orientalisme.

            Akibat kontradiksi yang berlaku di dalam kepimpinan negara pasca merdeka, dimana berlaku pertembungan idea diantara golongan ulama dan para ahli politik berpendidikan barat, ramai di kalangan ulama telah keluar dari parti pemerintah dan menubuhkan sebuah parti Islam sebagai wadah memperjuangkan politik Islam (Kamarulnizam: 2003). Parti yang dimaksudkan ialah Parti Islam Semalaysia (PAS). Perjuangan politik Islam di Malaysia telah melalui pelbagai liku lantaran terpaksa bersaing dengan pelbagai pemikiran politik barat seperti liberalisme yang didukung oleh UMNO dan sosialisme yang didukung oleh Barisan sosialis. Namun, politik Islam mendapat sambutan yang menggalakan di negeri-negeri yang berpenduduk majoriti Melayu. Ini kerana terminologi Islam tidak dapat dipisahkan dari aspek budaya Melayu. Menurut Syed Naquib (1972), Islam dan Melayu tidak dapat dipisahkan kerana terdapat ikatan yang kuat diantara kedua-duanya dari segi budaya dan agama.

          Penglibatan Islam didalam politik di Malaysia dapat dibahagikan kepada beberapa jangka masa. Era yang pertama ialah zaman pasca kemerdekaan, era pasca revolusi Iran dan era moden (Kamarulnizam: 2003). Ketika era pasca kemerdekaan, penglibatan Islam agak menonjol hanya kepada negeri-negeri yang majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Ini kerana, pemikiran politik barat seperti ideologi sosialisme dan liberalisme agak kuat mendominasi pentas politik arus perdana. Pada ketika era ini, politik Islam hanya berjaya mendapat tempat dikalangan para penduduk luar bandar. Namun, arus kebangkitan Islam yang benar-benar memberikan impak kepada pentas politik Malaysia hanya terjadi pasca revolusi Islam Iran pada awal tahun 70an, dimana timbul pelbagai gerakan Islam bukan sahaja parti politik, tetapi juga gerakan-gerakan dakwah seperti Al-Arqam dan Abim yang turut mendominasi pergerakan sosiopolitik Malaysia. Kamarulnizam (2003) menghujahkan bahawa, kesedaran Islam pada era ini adalah begitu hebat di mana setiap gerakan Islam mengambil inspirasi dari kejayaan revolusi Islam Iran.

          Era yang ketiga ialah pasca peristiwa 11 september 2003 . Arus kebangkitan Islam yang terjadi adalah lantaran dari kesedaran umat Islam secara global tentang betapa perlunya kembali kepada pemikiran politik Islam dan kesedaran bahawa Islam dan politik tidak dapat dipisahkan samasekali didalam kehidupan. Kemunculan kejayaan gerakan Islam seperti AKP di Turki, Hizbullah di Lebanon dan Hamas di Palestin serta kejayaan Ikhwanul Muslimin menguasai hampir separuh parlimen Mesir memberikan inspirasi kepada gerakan Islam di Malaysia (Maszlee: 2006).

No comments:

Post a Comment